Monday, April 2, 2012

Syarahan Pidato KPM

Semangat 1 Malaysia Teras Kejayaan



Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang akur dengan detik-detik puakanya, guru-guru dan para hadirin sekalian. Salam satu Malaysia, berdirinya saya pada pagi yang indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Semangat Satu Malaysia Teras Kejayaan”.

Sidang hadirin yang dimuliakan,
Tanggal 3 April 2009 yang lalu, bermulalah detik era pemerintahan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-6, beliau sentiasa berusaha menyatupadukan warganegara majmuk.

Sehubungan dengan itu, beliau telah memperkenalkan kepada rakyat Malaysia satu gagasan iaitu Semangat Satu Malaysia. Ungkapan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” adalah ‘tagline’ kepada gagasan tersebut. Natijah pembentukannya bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia yang semakin pudar. Ini adalah kerana perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan. Oleh yang demikian, Semangat Satu Malaysia didukungi oleh teras perpaduan manakala teras perpaduan itu pula didukungi oleh nilai-nilai murni.

Para hadirin yang saya hormati,
Seiringan dengan itu, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik serta agama diseru agar bersatu padu memupuk perpaduan bergerak membentuk satu “unity” yang mengandungi nilai-nilai aspirasi iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, keberanian, meritokrasi, kesetiaan, ketabahan, integriti dan cintakan ilmu.

Namum perpaduan hanya boleh dicapai dengan memastikan seluruh rakyat Malaysia memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, teras aspirasi dan teras perpaduan. Melalui penyatuan rakyat, negara dapat membina satu negara bangsa yang kukuh, progresif, makmur dan muafakat, bak kata bidalan “muafakat membawa berkat”.

Hadirin-hadirat yang dikasihi sekalian,
Pembentukan Semangat Satu Malaysia adalah matlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional dan seterusnya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa. Justeru itu, bagi mengaplikasikan gagasan ini, ianya memerlukan komitmen, kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga Negara Malaysia. Maka semua rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia adalah miliknya dan semua bangsa di Malaysia adalah rakyat Malaysia. Lantaran itu, sama-samalah kita  bersatu untuk membangunkan negara Malaysia nan satu menuju ke arah matlamat wawasan 2020.

Akhir kata, sebelum saya mengundur diri, izinkan saya menyusun jari memohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan dalam penyampaian syarahan saya.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment